Friday, August 28, 2009

Kencing terlalu kerap



JIKA anda mengalami masalah jangkitan kuman dalam pundi kencing, perbuatan kerap ke tandas adalah salah satu simptom jangkitan kuman pada saluran kencing.
Tanda-tanda lain ialah kencing pedih, panas, sakit pada ari-ari dan kadang kala demam. Bagaimanapun, jika saudara sudah mengambil antibiotik dan jangkitan kuman sudah dirawat tetapi masih kerap kencing, anda mungkin mengalami masalah yang dikenali sebagai pundi kencing terlalu aktif atau overactive bladder. Masalah ini boleh bersifat sementara selepas jangkitan kuman dan boleh berlanjutan. Masalah ini kerap melanda golongan muda terutama wanita. Ia juga boleh melanda warga emas yang mempunyai masalah pembesaran kelenjar prostat.

Antara simptom pundi kencing aktif ialah:

  • Kerap kencing (lebih lapan kali sehari)

  • Tidak dapat menahan kencing
  • Sakit pada bahagian bahagian ari-ari apabila menahan kencing

  • Mengalami kebocoran air kencing apabila menahan kencing

  • Masalah ini timbul akibat pundi kencing yang tidak berupaya menakung air kencing pada kapasiti normal. Untuk pengetahuan saudara, pundi kencing boleh menakung sebanyak 300 hingga 350 mililiter (ml) air kencing sebelum seseorang terasa mahu membuang air kecil.

    Bagi masalah pundi kencing aktif, pundi kencing hanya mampu menakung 100 ml air kencing atau kurang daripada jumlah itu. Sebelum diagnosis overactive bladder dilakukan, seseorang pesakit perlu menjalani ujian air kencing untuk memastikan tiada masalah jangkitan kuman pada pundi kencing yang boleh mempunyai simptom sama.


    Pesakit juga perlu mengisi bladder diary iaitu mencatatkan jumlah air yang diminum, waktu air diminum, masa untuk pergi kencing dan jumlah air kencing yang keluar. Dalam diari ini, pesakit juga perlu beritahu apakah berlaku masalah kebocoran kencing apabila kencing ditahan.

    Lazimnya, bladder diary ini perlu dibuat dalam masa tiga hari. Ada pelbagai ubatan yang boleh digunakan untuk merawat pundi kencing aktif. Rawatan ubatan yang paling kerap digunakan di Malaysia adalah penggunaan ubat yang dikenali sebagai Tolteradine atau Detrusitol.

    Selain dari itu pesakit juga dinasihat mengamalkan senaman kegel untuk menguatkan otot pelvic. Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi perlu dielak. Pesakit juga akan diajar teknik menahan dan menjarakkan masa ke tandas.

    0 comments: